MELAKA – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok selepas meredah lopak air di Jalan Taman Pertam Jaya, Pertam di sini petang semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta jenis Mercedes Benz E300 dipandu remuk teruk di bahagian hadapan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah Semabok menghala ke arah Ujong Pasir melanggar lopak air.
“Sebaik tiba jalan lurus, kereta dipandu tukang tukang pemasang dan penyelenggara kabel elektrik itu melanggar lopak air dan merempuh pokok di tengah jalan.
“Kenderaan mangsa kemudian berpusing sehingga memasuki laluan bertentangan dan mangsa dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan. – MalaysiaGazette