KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya mendepositkan benih-benih warisan dan varieti tradisional di lokasi penyimpanan selamat di Svalbard Global Seed Vault (SGSV) yang terletak di Benua Artik, Pulau Longyearbyen, Norway.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi satu kenyataan berkata, struktur kebal itu terletak dalam keadaan permafrost (tanah beku kekal) dan secara semula jadi pada suhu di bawah 18 darjah Celcius.
Menurutnya, inisiatif itu dilakukan di bawah Projek BOLD (Biodiversity for Opportunities, Livelihoods and Development) dengan dana yang diperolehi dari CropTrust yang mengenal pasti sumber genetik dari koleksi di MyGeneBank dan Bank Gen Padi Kebangsaan MARDI yang dikumpulkan sejak tahun 1977.

Jelasnya, benih yang dipilih sebagai simpanan pendua di SGSV itu terdiri dari varieti tradisional padi, terung dan kacang panjang.
“Sejumlah 725 aksesi tanaman telah diduplikasi di sana melalui dua penghantaran yang dilakukan pada bulan Mei dan Disember 2024,” demikian menurut kenyataan itu yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook MARDI malam tadi.
Tambahnya, pada 26 Februari lalu, pintu SGSV dibuka untuk pertama kali bagi tahun 2025 untuk mendepositkan benih dari Malaysia dan 20 negara yang lain.
Katanya, usaha itu merupakan langkah penting dalam memastikan keterjaminan dan ketersediaan sumber genetik makanan sekiranya negara berhadapan dengan risiko bencana yang mengakibatkan kemusnahan kemudahan penyimpanan sumber genetik di negara ini. – MalaysiaGazette