KAHERAH – Setakat ini tiada kemajuan dalam pusingan terbaharu rundingan mengenai fasa kedua gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Berikutan itu, tidak jelas sama ada ia akan disambung semula pada hari Sabtu, kata seorang pegawai kanan Hamas.
Fasa satu tamat pada hari Sabtu, tetapi di bawah terma perjanjian itu, pertempuran tidak seharusnya disambung semula.
Sementara rundingan sedang dijalankan pada fasa dua, yang boleh menamatkan perang di Gaza, menyaksikan tentera Israel berundur dan baki tebusan yang masih hidup dipulangkan.
Menurut Israel, 32 daripada 59 tebusan yang masih berada di Gaza telah mati.
Fasa pertama, yang menghentikan 15 bulan pertempuran di Gaza, menyaksikan pembebasan 33 tebusan, termasuk lapan mayat, sebagai pertukaran untuk hampir 2,000 tahanan Palestin.
Beratus-ratus ribu orang pulang ke utara Gaza, dan bantuan ke wilayah itu meningkat selepas tentera Israel berundur ke zon penampan.
Pegawai dari Israel, Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat telah terlibat dalam rundingan fasa kedua di Kaherah.
Hamas tidak hadir, tetapi kedudukannya telah diwakili melalui pengantara Mesir dan Qatar.
Ahli biro politik Hamas, Basem Naim mendedahkan “tiada kemajuan” sebelum perunding Israel pulang dan tidak pasti sama ada pengantara tersebut akan kembali ke Kaherah untuk menyambung rundingan pada hari Sabtu seperti yang dijangkakan.
Hamas melakukan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, menyebabkan 1,200 maut di Israel, kebanyakannya orang awam, dan menjadikan kira-kira 250 tebusan.
Sejak itu, serangan tentera Israel telah membunuh lebih daripada 48,000 rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.
Kedua-dua pihak bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata tiga fasa pada Januari lalu.
Pada hari Jumaat, Hamas menegaskan komitmen penuhnya untuk melaksanakan semua syarat perjanjian dalam semua peringkat dan menyeru masyarakat antarabangsa menekan Israel untuk “segera meneruskan ke fasa kedua tanpa sebarang kelewatan atau cubaan mengelak.
Hamas telah menolak cadangan Israel untuk melanjutkan fasa pertama gencatan senjata selama 42 hari, menggandakan tempoh gencatan senjata itu, dengan mengatakan ia bertentangan dengan perjanjian gencatan senjata, menurut seorang ahli kumpulan itu yang tidak mahu namanya disiarkan untuk membincangkan rundingan tertutup itu.
Cadangan Israel menggesa untuk melanjutkan gencatan senjata pada bulan Ramadan, yang bermula pada hari Sabtu, sebagai balasan kepada pertukaran tebusan tambahan, kata ahli Hamas itu.
Perjanjian itu menyeru Israel untuk mula mengundurkan tentera dari jalur sempit di selatan Gaza hujung minggu ini dan menyelesaikan proses itu dalam tempoh lapan hari.
Tetapi seorang pegawai Israel berkata, tentera Israel akan kekal di koridor Philadelphi selama-lamanya.
Dalam pada itu, wujud cabaran lain merumitkan masa depan gencatan senjata apabila Israel berkata, Hamas tidak boleh terlibat dalam mentadbir Gaza selepas perang.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu juga telah menolak sebarang peranan di Gaza untuk Pihak Berkuasa Palestin yang disokong Barat, yang didominasi oleh Fatah yang merupakan saingan utama Hamas.
Pemimpin Hamas Mohamed Darwish pada hari Sabtu mengulangi kenyataan bahawa kumpulan itu sanggup menyerahkan kuasa kepada kerajaan konsensus nasional Palestin atau badan teknokrat yang dicadangkan Mesir yang tidak sehaluan dengan Hamas atau Fatah. – Agensi