Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Tidak ada pengecualian dalam siasatan melibatkan dakwaan rasuah sama ada melibatkan wartawan atau ahli politik, tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurut beliau, adalah jelas di bawah undang-undang rasuah, sesiapa sahaja yang menerima suapan sebagai balasan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu tindakan dianggap sebagai kes rasuah.

“Kami mempunyai alasan kukuh untuk mempercayai bahawa dia (wartawan) terbabit dalam rasuah selepas wang tunai sebanyak RM20,000 ditemui bersamanya.

“Ini bukan sekadar salah laku. Di bawah undang-undang rasuah, ia sangat jelas, sesiapa yang menerima suapan sebagai balasan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu tindakan, itu adalah kes rasuah,” katanya seperti dilaporkan media tempatan hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan SPRM menahan wartawan sebuah portal berita yang membongkar isu penyeludupan pekerja asing sebagai janggal dan menimbulkan persoalan.

Ini kerana, ujar Takiyuddin, SPRM sepatutnya memberi keutamaan kepada siasatan berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan ejen pekerja asing dan pegawai imigresen di pintu masuk negara, berbanding menahan wartawan yang melaporkan isu itu.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wartawan sebuah portal direman empat hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik serta tidak lagi melaporkan mengenai isu agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here