Mohd Azam menujukkan gambar ayahnya di rumahnya di Kampung Parit Eng Joon, Parit Sikom, di Pontian, hari ini.

PONTIAN – Hasrat seorang menantu membelikan baju Melayu biru buat bapa mentuanya untuk dipakai semasa hari lebaran nanti tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan dua hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Siti Nor Fazilah Suratman, 31, berkata, dia dan suami Mohd Azam Husin, 32, sudah merancang untuk berkumpul semasa Aidilfitri dengan tema baru raya warna biru.

Namun hasrat itu berkubur selepas bapa mentuanya, Husin Arsad, 72, terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika perjalanan untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Pak Intan, di sini, Jumaat lalu.

“Tiada sebarang perubahan pada ayah mertua saya, tetapi dia banyak berdiam dan termenung, tidak seperti mana sebelumnya,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya Kampung Parit Eng Joon, Parit Sikom, di sini.

Sementara itu, Mohd Azam berkata, Ramadan kali ini seperti tiada erti buat mereka sekeluarga kerana kini kedua-dua orang tuanya sudah meninggal dunia.

“Kira-kira 10 tahun lalu emak meninggal dunia, kini ayah pula menyusul ketika umat Islam bersiap untuk berpuasa. Ayah belum sempat menjamah makanan kesukaannya, sayur nangka masak lemak dan ayam masak kicap kerana nak sembahayang Jumaat dahulu,” katanya.

Dia yang menjaga ayahnya selepas kematian ibunya 10 tahun lalu berkata, hubungan mereka rapat kerana bapa tinggal bersama-sama dengannya, isteri dan lima anak.

“Pagi Jumaat sebelum kejadian, ayah sempat bersarapan dengan kawan-kawan di Pekan Kayu Ara Pasong,” ujarnya yang mengusahakan bengkel membaiki kenderaan di rumahnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Mohammad Shofee dilaporkan berkata, kemalangan itu berlaku pada pukul 1 tengahari melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 1.7 Jalan Parit Sikom-Parit Panjang.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah kereta Honda Accord, sebuah Lexus dan sebuah Perodua Kancil yang dipandu mangsa.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta Honda Accord yang datang dari arah Parit Sikom ke Parit Panjang hilang kawalan dan melanggar sebuah Lexus dipandu warganegara Singapura dan Perodua Kancil yang datang dari bertentangan.

Akibat perlanggaran itu kata Mohammad Shofee, mangsa mengalami kecederaan parah di badan serta kaki dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here