Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 JUN 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, firma audit antarabangsa, KPMG bertindak secara tidak adil ketika meminta 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengemukakan dokumen pelaburan di Hong Kong jika syarikat itu mahu menutup akaun bagi tahun kewangan 2013.

Bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, berkata, KPMG turut melengah-lengahkan daripada menandatangani laporan audit tersebut selepas beranggapan 1MDB tidak dapat menyediakan dokumen tambahan pelaburan luar negara seperti yang diminta.

Menurut saksi pembelaan ke-12 (DW12) itu, beliau tidak faham mengapa KPMG enggan menutup akaun syarikat itu bagi tahun berkenaan walhal 1MDB mempunyai laporan daripada Bank BSI berkaitan pelaburan AS$2.3 billion dalam Brazen Sky.

Datuk Seri Najib Razak sebelum ini memberitahu mahkamah, pasukan pengurusan 1MDB dan KPMG berselisih pendapat dalam satu mesyuarat mengenai dokumen berkaitan pelaburan luar negara 1MDB melalui Brazen Sky.

Pengurusan 1MDB akhirnya menamatkan perkhidmatan audit KPMG dan beralih kepada firma audit Deloitte, pada tahun 2014.

Menurut Che Lodin, KPMG tidak bersetuju dengan cadangan pengurusan 1MDB untuk membuat pelaburan luar negara melalui Brazen Sky.

“Saya kemudian menyatakan supaya mereka (KPMG) pergi sendiri ke Hong Kong untuk melihat pelaburan tersebut,” ujarnya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar pada sesi pemeriksaan balas.

Che Lodin menyatakan demikian pada perbicaraan kes Najib yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Pada perbicaraan lalu, bekas Perdana Menteri menafikan beliau mendesak, memberi tekanan atau mengarahkan KPMG menutup akaun 1MDB bagi tahun kewangan 2013.

Dalam keterangannya, Najib berkata, beliau tidak pernah menakut-nakutkan bekas rakan pengurusan KPMG, Datuk Johan Idris supaya menutup penyata audit 1MDB untuk tahun tersebut.

Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast