JOHOR BAHRU – Tiga ahli Geng Adik Mamat, termasuk seorang anak Datuk, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan, memiliki senjata api dan sejata api tiruan, pada bulan lalu.
Ketiga-tiga mereka membuatkan pengakuan tersebut atas enam pertuduhan secara bersama-sama dan berasingan.
Mengikut kertas pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, tertuduh, Mohamad Haidar Abdullah, 34, dan N Klement Raj, 38, secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik Hon Chong Seng iaitu wang tunai RM3,500, telefon bimbit Iphone XS Max, Iphone 13 Pro Max, kad ATM, lesen memandu, kad pengenalan dan dompet.
Mengikut kertas pertuduhan Mohamad Haidar Abdullah, 34, dan N Klement Raj, 38, secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik Hon Chong Seng iaitu wang tunai RM3,500, telefon bimbit Iphone XS Max, Iphone 13 Pro Max, kad ATM, lesen memandu, kad pengenalan dan dompet.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, Mohamad Haidar turut berdepan satu pertuduhan memiliki senjata api dengan menyalahi undang-undang iatu sepucuk pistol berwarna hitam jenis Sigsauer berserta kelopak dan sarung berwarna hitam.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah Jalan Rahmat Kampung Melayu Majidee, di sini, pukul 1.05 petang pada 17 Februari lalu.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak lebih enam sebatan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh dan Nur Diyana Zubir manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Zafirah Norizan.
Tiada jaminan dibenarkan dan sebutan semula bagi serahan dokumen ditetapkan 10 April depan.
Di Mahkamah Sesyen berasingan, di hadapan Hakim, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, tertuduh Mohamad Haidar dan Klement Raj, turut berdepan tuduhan bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik mangsa berlainan, Chem Sooi Tea iaitu wang tunai RM650, kad ATM dan kad pengenalan.
Kedua kesalahan dilakukan di hadapan kedai kopi, Jalan Sutera 3, Taman Sentosa, lebih kurang pukul 5 pagi, pada 14 Februari lalu.
Hakim, Che Wan Zaidi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 seorang dengan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, lapor diri dibalai polis sekali setiap bulan dan larangan mengganggu saksi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadilah Johanuddin, manakala Klement Raj diwakili peguam, K Muthiah.
Mahkamah menetapkan tarikh sama 10 April depan sebagai sebutan semula dan serahan dokumen.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, seorang lagi ahli Geng Adik Mamat, Muhammad Zul Syamsi Datuk Johari, 38, mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret, A.Shaarmini atas pertuduhan memiliki sepucuk senjata api tiruan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah Jalan Rahmat, Kampung Melayu Majidee pukul 1.35 petang pada 17 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 20 Mac sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette