Gelagat orang ramai terpaksa menaiki bas perantara yang disediakan oleh RapidKL bagi memudahkan perjalanan selepas perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang di antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandar Raya mengalami gangguan disebabkan penjajaran landasan bengkok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 30 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan seharusnya meningkatkan kecekapan pengangkutan awam terlebih dahulu sebelum berhasrat melaksanakan caj kesesakan di Kuala Lumpur.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, majoriti yang memandu untuk bekerja atau berurusan di ibu kota adalah kerana tiada pilihan lain memandangkan sistem pengangkutan awam negara yang masih menghadapi masalah keterhubungan dan kesesakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Wee Jack Seng.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan berkata, kekurangan dalam aspek keterhubungan mendatangkan kesukaran bagi penumpang untuk berpindah dari satu mod pengangkutan ke mod pengangkutan lain dengan lancar, selesa serta menepati waktu.

Tambahnya, jumlah penumpang yang tinggi terutama pada waktu puncak pula mengakibatkan kelewatan penumpang ke destinasi masing-masing.

“Persoalan penting ialah bagaimana sistem pengangkutan awam mampu menyerap tambahan penumpang yang mendadak apabila caj kesesakan dilaksanakan, tanpa meningkatkan akses, kecekapan dan keterhubungan terlebih dahulu?

“Sehubungan itu, saya memohon supaya janganlah terlalu ghairah mahu mengubati gejala tanpa merawat penyakit sebenar, iaitu sistem pengangkutan awam yang masih perlu ditingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan pelaksanaan caj kesesakan di Kuala Lumpur dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di daerah pusat perniagaan (CBD) sehingga 20 peratus.

Katanya, jangkaan itu dibuat berdasarkan pelaksanaan caj kesesakan di bandar antarabangsa seperti di London dan Stockholm yang menunjukkan bahawa pelaksanaan caj tersebut mampu mengurangkan kesesakan sehingga 20 hingga 30 peratus.

Dalam pada itu, Jeck Seng mempersoalkan keyakinan Dr Zaliha berhubung caj kesesakan yang dikatakan mampu mengurangkan sehingga 20 peratus kesesakan di Kuala Lumpur yang turut menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai.

“Apa yang membuatkan YB Menteri (Dr Zaliha) begitu yakin bahawa langkah itu boleh mengurangkan 20 peratus kesesakan lalu lintas?

“Adakah kaji selidik yang komprehensif sudah dilakukan, atau beliau sekadar mahu menguji respons orang ramai?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here