Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KUALA LUMPUR – Pemberian kadar dividen 6.30 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Syariah bagi 2024 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencerminkan asas ekonomi negara khususnya sepanjang tahun lalu yang kukuh.

Lebih membanggakan, kata Pensyarah Kanan Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, pengukuhan itu dicatatkan di sebalik spekulasi pertumbuhan ekonomi negara yang lemah seperti yang diunjurkan Bank Dunia.

Sebaliknya, kata beliau, Malaysia tahun lalu berjaya mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) 5.1 peratus, iaitu prestasi ekonomi yang positif di sebalik ketidaktentuan ekonomi global selain turut berdepan tekanan inflasi.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff.

Menurutnya, pengukuhan ekonomi domestik itu antara lain disokong oleh dasar dan polisi kerajaan yang bersesuaian, sekali gus berjaya memastikan ekonomi negara terus berada pada keadaan stabil dan berkembang.

“Sudah pasti pengukuhan ekonomi negara ini akan memberi lebih keyakinan kepada para pelabur domestik seperti KWSP atau pelabur asing untuk menyertai lebih banyak peluang pelaburan pada masa depan, sekali gus membolehkan ekonomi negara terus mengukuh,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sabtu lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Syariah bagi tahun 2024 iaitu tertinggi untuk tempoh sejak 2017.

Sementara itu, Abdul Rais berkata, kadar dividen KWSP yang tinggi pada tahun lalu juga mencerminkan strategi tepat badan tersebut dalam membuat pelaburan berhemah yang memberi keuntungan positif kepada pencarumnya.

Jelasnya, perkara itu dapat dilihat yang mana tahun lalu, KWSP berjaya mencatatkan pendapatan pelaburan kira-kira RM74 bilion iaitu peningkatan 11 peratus berbanding tahun sebelumnya, selain turut menunjukkan peningkatan dari sudut jumlah aset pelaburan.

“Ini sekali gus menunjukkan keputusan pelaburan yang dibuat KWSP adalah satu penilaian risiko yang efektif dan berkesan dalam melaksanakan pelaburan yang dirancang,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Abdul Rais berkata, KWSP sudah semestinya akan terus membuat penelitian dan risiko penilaian dalam memastikan pelaburan domestik serta globalnya terus memberi pulangan yang memanfaatkan pencarumnya.

Dalam hal itu, tambah beliau, KWSP mungkin perlu menimbangkan untuk melabur dalam cabang pelaburan baharu terutama dalam bidang teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan infrastrutktur digital.

Selain itu, ujarnya, sektor lain termasuk teknologi maklumat dan komunikasi, bioteknologi dan kewangan digital yang ketika ini menunjukkan perkembangan pesat serta semakin menjadi tumpuan sektor perniagaan dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here