Datuk Seri M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengecam tindakan tidak bertanggungjawab kakitangan ERA FM yang didakwa memperlekehkan agama Hindu menerusi satu video baru-baru ini.

Video berkenaan memaparkan individu yang meniru tarian kavadi sambil melaungkan ‘Vel Vel’ secara tidak sopan, sekali gus mencemarkan kesucian kepercayaan masyarakat Hindu di Malaysia.

“Tindakan ini bukan sekadar tidak berakal, malah satu penghinaan terang-terangan terhadap agama dan tradisi penganut Hindu di negara ini.

“ERA FM sebagai organisasi media sepatutnya lebih peka dan tidak membiarkan kandungan yang menghina seperti ini diterbitkan. Kakitangan mereka jelas tidak layak berada dalam industri media jika tidak memahami sensitiviti agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Tapah itu menegaskan, insiden seperti ini boleh menggugat keharmonian negara yang dibina atas prinsip saling menghormati antara kaum dan agama.

“Apabila sebuah stesen media arus perdana membiarkan tindakan sebegini berlaku, ia mencetuskan perpecahan dan menjejaskan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Ini bukan perkara remeh, tetapi satu isu serius yang tidak boleh dipandang ringan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Saravanan menggesa kerajaan mengambil tindakan segera dan tegas terhadap ERA FM atas kelakuan yang disifatkan sebagai biadab itu.

“Sekurang-kurangnya, ERA FM perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Hindu, dan individu yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kita juga mendesak Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk mengambil tindakan terhadap stesen radio ini kerana jika perkara ini dibiarkan, ia akan menjadi satu duluan bahaya kepada media lain di masa hadapan,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here