KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tidak sah bagi mengelakkan sebarang penipuan dan kerugian.
Ia susulan wujud khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar menggunakan nama MyJPJ adalah mengandungi pautan pishing untuk tujuan memperdaya orang awam.
“JPJ telah menerima aduan daripada orang awam berhubung SMS yang mengandungi pautan berkaitan lesen memandu.
“Pihak JPJ ingin menjelaskan bahawa Jabatan ini tidak pernah menghantar mana-mana pautan berkaitan urusan lesen memandu melalui SMS kepada orang awam,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai perlu merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut.
Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada pihak JPJ menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ – https://jpj.spab.gov.my/ – MalaysiaGazette