PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini mengekalkan hukumam penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony.
Keputusan itu dicapai sebulat suara panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Berikutan itu, Ahmad Zaidi memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu menjalani hukuman penjara mulai hari ini.
Tertuduh didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pihak pembelaan semasa hujahan menyatakan bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya selaku perayu adalah cacat kerana tiada tandatangan pada kertas pertuduhan.
Beliau berkata, mengikut Seksyen 172 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), semua pertuduhan yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi hendaklah dibawa atas nama pendakwa raya dan ditandatangani.
Sementara itu, pihak pendakwaan berkata, ketiadaan tandatangan pada kertas pertuduhan tidak membawa kepada satu salah laksana keadilan atau ‘miscarriage of justice’.
Menurutnya, pertuduhan yang dikemukakan, sama ada asal atau dipinda, telah dibacakan dan diterangkan kepada perayu.
“Perayu juga memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya, maka ketiadaan tanda tangan pada kertas pertuduhan hanyalah satu ketidakmasukan atau ‘omission’ yang tidak boleh dianggap sebagai salah laksana keadilan.
“Terma tersebut kebiasaanya digunakan apabila seseorang tidak mendapat satu perbicaraan yang adil,” katanya.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan keputusan rayuan berkenaan pada 27 November 2024 namun tarikh itu dipinda kepada 9 Januari 2025, sebelum ditangguhkan lagi ke 7 Februari.
Mahkamah kemudian menetapkan keputusan rayuan kes itu pada 4 Mac.
Pada 19 April 2023, Peter, 54, memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Bagaimanapun, Peter telah membayar denda.
Sebelum ini, beliau gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 dan ini merupakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.
Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd dituduh memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda. – MalaysiaGazette