ROMPIN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memantau 3,970 gerai makanan di seluruh Pahang membabitkan 80 lokaliti bazar Ramadan di negeri ini bagi memberi perhatian dalam pemeriksaan keselamatan makanan terjamin.
Exco Kerja Raya, Pengakutan dan Kesihata Pahang Datuk Ir Razali Kassim berkata Penganjuran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan merupakan acara tahunan bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan keselamatan makanan kepada orang awam dan pengendali makanan di Bazar Ramadan.
”Tahun lepas di Kuantan dan tahun ini di Rompin di mana majlis pelancaran ini juga adalah bertujuan untuk memberi kesedaran yang lebih bermakna kepada masyarakat, sama ada pembeli atau pengusaha makanan.

”Langkah ini diambil agar peniaga sentiasa menitikberatkan isu kebersihan dan keselamatan makanan dalam pemilihan juadah berbuka puasa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan Di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 Tapak Pasar Minggu Kuala Rompin di sini hari ini.
Untuk rekod sebanyak 412 gerai dan 940 pengendali makanan di Pahang telah diperiksa, manakala 24 notis kehadiran ke mahkamah di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan dalam tempoh dua hari Ramadan.
Razali menyeru semua lapisan masyarakat untuk menjadi perisik atau pemantau dalam aspek keselamatan makanan dan segera melaporkan kepada Pejabat Kesihatan yang berdekatan.
Jelasnya JKNP melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) komited untuk memastikan keselamatan makanan yang dijual sentiasa terjamin dengan menjalankan aktiviti pemantauan sebelum dan sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya perkara tersebut selaras dengan keperluan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Peraturan di bawahnya.
”Aduan boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam ataupun SisPAA secara atas talian sekiranya terdapat sebarang penemuan yang mencurigakan.
”Aktiviti pemeriksaan yang dijalankan di sepanjang rantaian bekalan makanan meliputi peringkat sumber bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga yang telah dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah bermula sebelum Ramadan lagi,” katanya. – MalaysiaGazette