PUTRAJAYA – Pendaftaran MyDigital ID dijangka akan meningkat suku kedua tahun ini.
Ini merupakan hasil strategi diterapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku agensi utama pelaksanaan prapendaftaran.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat Malaysia akan didaftarkan secara automatik dalam sistem MyDigital ID seawal usia 12 tahun.
“Bagi meningkatkan jumlah pendaftaran, strategi yang dibincangkan dalam mesyuarat hari ini adalah pelaksanaaan prapendaftaran bagi rakyat Malaysia apabila mereka mencapai umur 12 tahun,” katanya dalam majlis iftar bersama media di sini hari ini.
Saifuddin turut menjelaskan pendaftaran juga akan dilakukan secara automatik ketika seseorang menggantikan MyKad yang hilang.
“Jika seseorang kehilangan MyKad dan hadir ke JPN untuk penggantian, mereka akan didaftarkan secara automatik dalam sistem MyDigital ID.
“Kami berharap strategi ini akan meningkatkan kadar pendaftaran menjelang suku kedua tahun ini sekali gus membolehkan transaksi dilakukan menggunakan log masuk tunggal,” ucapnya.
Saifuddin turut menyatakan Mesyuarat Majlis Identiti Digital Nasional yang dipengerusikannya petang tadi telah bersetuju dengan strategi itu.
“Walaupun pendaftaran MyDigital ID bukan satu kewajipan daripada segi undang-undang, penggunaannya akan menjadi keperluan utama dalam urusan kerajaan sebelum diperluas ke sektor swasta.
“Setakat ini, hanya 1.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar sejak MyDigital ID dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu.
“Jumlah ini masih rendah sedangkan MyDigital ID memberi manfaat besar kerana ia mengesahkan identiti individu yang berurusan dengan jabatan kerajaan dan akan turut digunakan dalam sektor swasta,” tambahnya. – MalaysiaGazette