KOTA TINGGI – “Arwah ada datang rumah, peluk makcik dan kata ini kali ini mungkin raya terakhir,” ujar adik ipar kepada seorang nenek yang terkoban dalam kemalangan dua maut di Kilometer 10.3 Jalan Kota Tinggi-Kluang pagi tadi.
Junaidah Mohtar yang tinggal di Felda Tenggaroh 2, Mersing, berkata, kemesraan luar biasa itu ditunjukkan mangsa, Zainab Abdullah, 68, semasa bertemu dengannya di rumahnya semasa kenduri menyambut Ramadan pada 23 Februari lalu.
Junaidah, 64, menambah, dia amat rapat dengan Zainab yang juga sepupunya sejak kecil dan mengetahui kejadian berkenaan pada pukul 9 pagi dimaklumkan oleh menantu arwah.
“Dia menyuruh saya bertenang kerana saya ada sakit jantung. Dia memberitahu ibu mentuanya sudah meninggal dunia akibat kemalangan dan keadaan bapa mentua pula yang juga abang saya masih tidak diketahui,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi tadi, Zainab bersama-sama suaminya, Abas Mohtar, 71, menaiki kereta Nissan Almera terlibat kemalangan dengan kereta Perodua Kancil dipandu Nurasyraf Afif Abdul Ghafar, 20, yang juga pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi.
Kemalangan tersebut mengorbankan Zainab dan Nurasyraf Afif manakala Abas cedera parah serta kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
Sementara itu, anak lelaki pasangan tersebut, Zamri Abas, 48, berkata, kejadian berkenaan berlaku selepas ibu dan bapanya menghantar anak buahnya ke Kolej Vokasional Kota Tinggi dan dalam perjalanan balik ke rumah ke Felda Sungai Sibol di sini.
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, anak buahnya yang 16 tahun masih belum mendapat tempat di asrama kolej tersebut dan ibu bapanya menghantarnya pada setiap pagi.
Dia yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, kali terakhir berjumpa kedua-dua orang tuanya semalam di rumahnya selepas pulang dari kerja.
“Ibu dan ayah saya tidak menunjukkan apa-apa tanda pelik cuma dua tiga hari sebelum ini baru lepas cat rumah orang dan sibuk membantu kerja-kerja di bengkel lori di rumahnya.
“Saya cadang nak buka puasa bersama-sama ibu dan ayah minggu depan kerana minggu ini saya berbuka puasa di rumah mentua,” katanya.- MalaysiaGazette