KUALA LUMPUR – Kejayaan rampasan ratusan juta ringgit oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan rasuah dan pengubahan wang haram yang didakwa melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan tamparan hebat kepada pihak-pihak yang selama ini bersembunyi di sebalik kuasa politik.
Sehubungan itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menyokong penuh siasatan dan tindakan yang diambil SPRM dalam kes tersebut yang tidak berkompromi kepada mana-mana pihak.
Bagaimanapun, ujar beliau, siasatan SPRM juga tidak seharusnya dilihat seolah-olah menjadi alat politik bagi menekan pihak tertentu semata-mata.
Sedangkan, tambahnya, masih ada individu atau pihak lain yang terlepas daripada tindakan sama, seolah-olah mereka mempunyai kekebalan tertentu.
“Dalam konteks politik negara, MCW menyedari bahawa pendedahan kes-kes rasuah melibatkan pemimpin berprofil tinggi boleh memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat dan maruah negara.
“Sehubungan itu, MCW menggesa supaya reformasi institusi dan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik dilaksanakan dengan segera agar pemimpin lebih amanah dan bebas daripada amalan rasuah ketika memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Jais, secara realitinya dalam pendakwaan kes-kes rasuah sering menyaksikan pemberi rasuah digunakan sebagai saksi utama terhadap penerima rasuah.
Situasi itu, ujar beliau, khususnya dalam kes-kes berkaitan penerima rasuah yang mempunyai kedudukan tinggi dan memegang amanah rakyat sebagai pemimpin negara.
“Walaupun ini adalah strategi yang biasa dalam pendakwaan, MCW berpandangan bahawa pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya harus dikenakan tindakan tegas bagi memastikan keadilan dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Dalam masa sama, tambah Jais, MCW menyeru semua pihak bersatu padu dan bekerjasama untuk membebaskan negara ini daripada cengkaman budaya rasuah yang telah lama berakar umbi dalam pentadbiran kerajaan.
“Perjuangan membanteras rasuah bukan hanya tanggungjawab SPRM dan pihak berkuasa semata-semata.
“Sokongan jitu dan kesedaran seluruh rakyat Malaysia amat diperlukan bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bermaruah, berintegriti dan bebas rasuah,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Ismail Sabri kini diklasifikasikan sebagai suspek berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan rampasan wang tunai lebih RM170 juta dalam pelbagai mata wag yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Bera berkenaan. – MalaysiaGazette