Bomba aktifkan SAR lelaki jatuh jambatan di Tanjung Lumpur

KUANTAN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas jatuh dari Jambatan Ke-2 Tanjung Lumpur, Kemunting, di sini, malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 10.48 malam.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, didapati ibu mangsa turut berada di situ.

“Pasukan bomba bertindak membuka Pos Kawalan Bomba (PKB) di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemunting bagi meneruskan operasi awal membuat pencarian di permukaan air sekitar kawasan yang disyaki mangsa jatuh,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Zulfadli, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang berusia 22 tahun itu bermula pada jam 8 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu yang mengesahkan perkara itu memberitahu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.43 malam.

Beliau berkata, pengadu membuat laporan susulan terjumpa sebuah motosikal jenis R250 ditinggalkan di atas jambatan itu dalam keadaan enjin masih hidup.

“Saksi juga terjumpa sebuah telefon bimbit di atas motosikal tersebut dalam keadaan sedang membuat panggilan video dengan seorang individu dipercayai bekas teman wanitanya,” katanya dalam kenyataan.

Wan Mohd Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan di sepanjang Sungai Kuantan dengan bantuan agensi penyelamat daerah Kuantan bermula jam 11.30 malam tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here