Zurk Ahmad

KUALA LUMPUR – Rakyat masih bergelut untuk mendapatkan beras putih tempatan (BPT) pada harga subsidi seperti yang dijanjikan kerajaan biarpun selepas 1 Mac.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Zurk Ahmad berkata, rakyat sehingga hari ini melihat bekalan hanya tertumpu di beberapa kawasan sahaja dengan kuantiti yang sangat sedikit.

“Adakah masalah bekalan belum selesai? Adakah isu pengagihan belum ditangani? Rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas dan penyelesaian yang tuntas.

“Kerajaan tidak boleh hanya tahu umum dan berjanji tanpa memastikan pelaksanaannya berjalan lancar di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zurk merujuk kepada kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa kerajaan akan membelanjakan RM150 juta untuk menyerap kos pengeluaran dalam tempoh enam bulan akan datang.

Justeru beliau menjangkakan, sebanyak 24 juta kampit beras putih tempatan 10 kilogram (kg) akan mula tersedia di pasaran dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Zurk berkata, kerajaan tidak seharusnya hanya tahu umum dan berjanji tanpa memastikan pelaksanaannya berjalan lancar di lapangan.

Jelasnya, isu penukaran label beras, kartel yang tidak pernah dibongkar hingga kepada janji bekalan BPT yang masih kabur, semuanya membuktikan ketidakcekapan kerajaan Madani dalam menguruskan keperluan asas rakyat.

“Lebih membimbangkan apabila kerajaan dilihat seolah-olah mengambil ringan akan isu ini dengan kenyataan-kenyataan yang bercanggah, maklumat yang tidak tepat dan janji yang tidak ditunaikan. Sampai bilakah rakyat harus terus diperdaya?

“Sebagai langkah ke hadapan, Pas Selangor menuntut kerajaan mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan isu ini dengan segera serta menyeluruh. Makanan ruji negara ini tidak boleh menjadi isu berpanjangan tanpa penyelesaian,” katanya.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas, Nurul Islam Mohamed Yusoff menggesa kerajaan agar menyerahkan urusan berkaitan padi dan beras kepada pentadbiran negeri.

Jelasnya, ia bagi memastikan isu besar dan padi dapat diselesaikan di peringkat yang lebih fokus iaitu di peringkat negeri masing-masing.

“Kalau kerajaan sudah tak mampu sangat, serah urusan padi dan beras kepada negeri seperti cadangan MB (Datuk Seri) Sanusi.

“Letak ketepi politik Kerajaan Madani sekejap dan berkerjalah untuk rakyat,” katanya juga dalam satu kenyataan.

Bulan lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menggesa agar kuasa menguruskan tanaman dan industri padi diberikan kepada kerajaan negeri dalam menangani dan memulihkan isu kekurangan bekalan beras tempatan.

Katanya, isu beras tidak akan selesai selagi tidak ada kesungguhan daripada agensi berkaitan, terutama dalam membanteras kegiatan didalangi kartel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here