SHAH ALAM – Penyanyi dan usahawan terkenal, Noraniza Idris, mengalami kerugian besar kira-kira RM630,000 selepas didakwa ditipu oleh sebuah syarikat yang kononnya menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Beliau mendakwa syarikat miliknya, Cik Ani Premium Sdn Bhd mula bekerjasama dengan syarikat itu pada Mei tahun lalu, dengan harapan dapat membantu masyarakat melalui program CSR yang ditawarkan.
Bagaimanapun, selepas membekalkan produk seperti yang dipersetujui, syarikat berkenaan gagal melunaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan, menyebabkan Noraniza mengalami kerugian besar.

“Saya terima pelawaan mereka kerana ingin membantu. Lagipun selama ini saya memang sentiasa menyokong aktiviti amal kebajikan.
“Bagaimanapun, niat baik telah dipermainkan apabila pihak terbabit melanggar perjanjian dengan hanya membayar sekitar RM3,000 sahaja. Cara bayaran pun dibuat berperingkat.
“Sejak menyedari diri telah ditipu sejak Jun tahun lalu, saya sering menuntut bayaran daripada pihak mereka namun sampai ke hari ini pelbagai alasan diberikan sehingga nilai kerugian yang saya tanggung mencecah RM630,000.
“Kerugian tersebut merangkumi mesin khas pembuatan muruku, pencetakkan, pembungkusan tertera logo syarikat tersebut serta kos pembayaran pekerja,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Shah Alam di sini hari ini.
Noraniza ditemani anak keduanya, Mohd Alfeeq Haiqal Mohd Fauzi, 32.
Dakwanya, sejak produk berkenaan dibekalkan, syarikat berkenaan kerap memberikan alasan dan berjanji untuk membuat pembayaran, namun sehingga kini ia masih belum dilunaskan.
Situasi itu menjejaskan perniagaannya, kerana terpaksa memperlahankan operasi syarikat serta merehatkan sebahagian pekerja kerana tidak mampu menampung kos yang semakin meningkat.
“Saya nekad buat laporan polis ini, sekurang-kurangnya kami dapat hak kami semula serta membantu orang lain supaya jangan terpedaya dengan orang begini.
“Saya harap mereka yang terlibat tampil memberi kenyataan kenapa melakukan penganiayaan begini agar syarikat lain pun boleh lebih berhati-hati,” jelasnya. -MalaysiaGazette