KOTA TINGGI – Seorang pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi dan seorang warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Batu 4, Jalan Kota Tinggi, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu mengorbankan Nurasyraf Afif Abdul Ghafar, 20, yang memandu kereta Perodua Kancil dan penumpang kereta Nissan Almera, Zainab Abdullah, 68, manakala suaminya, Abas mohtar, 71, cedera parah.
Abas masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku semasa Nurasyraf dalam perjalanan dari Tenggaroh ke kolej berkenaan manakala pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang ke Felda Sungai Sibol, di sini, selepas menghantar cucu lelaki mereka ke kolej berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Shawaluddin Ami Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 8.02 pagi sebelum dua buah jentera dari bersama-sama lapan anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Pemandu lelaki telah dikeluarkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi menaiki ambulan APM manakala seorang lagi mangsa wanita dewasa meninggal dunia.
“Sebuah lagi kereta jenis Perodua Kancil dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun juga telah meninggal dunia di tempat kejadian. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut menggunakan peralatan khas stretcher bersama anggota APM bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Kesemua mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi proses bedah siasat dan rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Jenazah arwah Nurasyraf Afif akan dikebumikan di Felda Semenchu manakala arwah Zainab pula disemadikan di Felda Sungai Sibol, di sini, pada petang ini.- MalaysiaGazette