Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

KUALA LUMPUR – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini sangat penting kerana buat pertama kalinya, anggota parti akan memilih kepimpinan baharu ketika presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata sebagai parti tunjang dalam kerajaan MADANI, pemilihan kali ini sudah tentu diharap dapat menyusun kepimpinan yang mampu memperkukuh pentadbiran kerajaan.

Pada masa sama katanya ia turut menjadi platform langkah awal parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang boleh berlaku bila-bila, selewat-lewatnya pada 2027.

“Kita tahu bahawa ke depan ini selesai saja pemilihan PKR, kita mungkin berbaki satu atau dua tahun lagi untuk membuat persiapan sebelum PRU. Pilihan raya ini juga mungkin boleh dilakukan lebih awal, bergantung kepada Perdana Menteri.

“Tetapi perkara pokoknya adalah sesiapa pun yang memimpin PKR selepas ini, mereka mempunyai tanggungjawab yang besar, harus mempunyai visi dan tugas serta paling penting, memberikan sokongan dan membantu Perdana Menteri yang juga presiden kita.

“Kita mahukan pasukan yang kuat kerana kita tahu bahawa apabila menjadi kerajaan, banyak harapan terpaksa dipenuhi selain perlu memberikan khidmat kepada rakyat,” katanya pada program Ruang Bicara membincangkan topik ‘Pemilihan PKR: Langkah Diplomasi, Memperkukuh Parti’, terbitan Bernama TV malam ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hos Sherkawi Jirim mengenai keghairahan sesetengah pemimpin PKR yang masing-masing mahu menjadi calon dalam pemilihan parti kelak.

Selain itu, Shamsul Iskandar yang juga Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri berkata pemilihan parti kali ini harus mengambil kira keupayaan untuk menghadapi pelbagai cabaran, terutamanya dalam menghadapi serangan daripada pembangkang dan fitnah yang dilemparkan.

Untuk itu, beliau berkata parti perlu memiliki kepimpinan yang berdaya tahan dan mempunyai visi yang jelas dalam merangka program-program yang boleh mendekatkan parti dengan rakyat.

Mengambil contoh kepimpinan muda sedia ada antaranya Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Shamsul Iskandar berkata pemilihan parti itu juga memberikan isyarat kepada rakyat bahawa PKR tidak ketandusan kepimpinan berwibawa.

“Ini harus kita tunjukkan kepada warga dan rakyat kesediaan kita, komitmen kita dan semangat kita untuk menyediakan barisan pemimpin pelapis yang benar-benar ampuh untuk berdepan dengan pilihan raya dan juga berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Pengelola Pusat PKR Zahir Hassan berkata pemilihan parti itu dilihat bertujuan menguatkan dan memperkukuh parti menerusi pemerkasaan anggotanya dan kepimpinan parti itu sendiri.

Beliau berkata perkara berkenaan dapat dicapai dengan memastikan anggota dapat menjalankan peranan sebagai ahli parti, bukan hanya di peringkat kepimpinan cabang atau kepimpinan pusat semata-mata sebaliknya berperanan di peringkat akar umbi.

Pada 26 Jan lepas, PKR dilaporkan memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan diadakan pada 24 Mei ini.

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here