KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia membuka kertas siasat berhubung dakwaan ugutan jenayah ‘angkat parang’ pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Kuala Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita berhubung kejadian itu pada 1 Mac lalu.
Mangsa mendakwa seorang lelaki telah mengeluarkan ugutan terhadapnya dengan perkataan ‘angkat parang’ sebelum bertindak mendekatinya dan membuat provokasi.
“Pengadu menyatakan telah menerima ugutan daripada seorang lelaki yang mengatakan ‘angkat parang’ kepada pengadu.
“Kemudian lelaki tersebut datang ke arah pengadu dan membuat provokasi. Ekoran laporan berkenaan Ibu pejabat Polis Kuala Selangor telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Kesiksaan iaitu ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Terdahulu, tular video berdurasi empat minit tujuh saat memaparkan pergaduhan di MATC PKR Kuala Selangor.
Dakwaan dalam video itu menyebut kekecohan berlaku apabila seorang bekas calon PKR dikatakan membawa sekumpulan individu untuk menghalau pencabarnya. – MalaysiaGazette