ISKANDAR PUTERI – Kegiatan scammer lima lelaki warga China menjalankan operasi pusat panggilan permainan video dalam talian di Tanjung Kupang, Gelang Patah di sini terbongkar selepas diserbu polis minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya melakukan serbuan ke atas satu apartmen yang disewa dengan harga RM1,300 sebulan pada pukul 4.30 petang pada 27 Februari lalu.
Beliau memberitahu, pihaknya menahan lima suspek berkenaan yang berusia antara 24 hingga 36 tahun dipercayai menipu dalam menjalankan aktiviti pemainan video dalam talian.
“Mereka menipu dengan cara tidak memberikan ‘mata’ yang dibeli pelanggan permainan video mereka. Hasil siasatan awal mendapati mereka menyasarkan pelanggan dari negara Asia Tenggara.
“Semua suspek ini mengaku menjalankan aktiviti pusat panggilan bagi sindiket penipuan permainan video ‘Good Game (GG) Arcade’ yang mana medium promosi digunakan sindiket itu adalah melalui laman web dan aplikasi Telegram,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Katanya, modus operandi sindiket yang sudah aktif sejak Disember 2024 itu adalah dengan meminta pelanggan membuat pendaftaran melalui aplikasi Telegram.
Setiap pemain dikenakan sejumlah bayaran bergantung kepada jenis permainan yang dipilih daripada tujuh jenis permainan yang ditawarkan sindiket.
“Pembayaran dibuat dalam bentuk mata wang kripto, dibayar melalui laman web GG Arcade. Sindiket membuat keuntungan melalui komisen 20 peratus bagi setiap tambah nilai dibuat pemain selain mengaut semua hasil ‘mata’ yang sepatutnya diterima pemain,” katanya.
Kumarasan berkata, pihaknya turut merampas lima komputer riba, sembilan telefon bimbit, satu Wifi Router dan satu kad akses yang semuanya dianggarkan bernilai RM20,000.
Menurutnya, semakan mendapati semua suspek berkenaan masuk ke Malaysia pada Disember 2024 dan keluar sebelum perayaan Tahun Baharu Cina.
“Namun semua suspek masuk semula ke Malaysia menggunakan visa pada 11 Februari lalu dan mempunyai pasport yang masih sah tamat tempohnya,” katanya.
Setiap suspek berkenaan katanya, menerima gaji daripada majikan dipercayai di China menggunakan bank dan mata wang China namun apabila ditukar, gaji yang diterima mereka mencecah antara RM6,000 hingga RM7,000 setiap seorang.
“Kita masih menyiasat sekiranya ada lagi calling centre yang berkait dengan sindiket ini. Kita memerlukan maklumat dan kerja sama orang awam memandangkan sindiket seumpama ini akan menggunkan premis di kawasan berpagar dan berpengawal.
“Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada sebarang laporan diterima daripada mangsa penipuan sindiket ini,” jelasnya.
Tambah Kumarasan, semua suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette