KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan terhadap petugas radio Era FM milik Astro selepas tular video yang menyaksikan perbuatan tiga pengacara stesen berkenaan yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan Hindu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, iaitu perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian, atau niat jahat atas alasan agama.
Selain itu, kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Katanya, pihaknya menerima enam laporan berkaitan kes itu dengan laporan awal diterima daripada seorang jurutera berusia 44 tahun yang mengesan video terbabit di aplikasi Facebook.
“Pengadu mendakwa beberapa individu dilihat menjerit ‘Vel Vel’, manakala seorang lagi dilihat menari dan membuat laporan polis kerana mendapati kandungan video itu menyentuh sensitiviti perkauman serta mempermainkan agama Hindu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razarudin berkata semakan polis mendapati video berkenaan sudah pun dipadamkan oleh pihak stesen radio berkenaan.
“Kita mendapati rakaman video itu sudah ditonton sebanyak 95,400 kali dan turut dikongsi oleh 204 pengguna di media sosial,” katanya.
Individu yang terlibat dalam video berkenaan sudah pun mengeluarkan permohonan maaf rasmi melalui laman Facebook Era FM, katanya.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu, termasuk memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh.
Sementara itu, pengurusan stesen radio tersebut, Astro Audio, dalam satu kenyataan memaklumkan sudah merehatkan ketiga-tiga pengacara radio berkenaan daripada ke udara sehingga diberitahu, sementara menunggu siasatan dalaman.
Astro Audio turut memaklumkan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan melahirkan kekesalan atas insiden rakaman video melibatkan penyampai Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin di platform media sosial ERA.- BERNAMA