KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekali lagi menegaskan Lembaga Tentera Angkatan Tentera (LTAT) untuk terus menambah baik rangka kerja berkaitan supaya ia dapat membayar dividen secara konsisten, selain memastikan kelestariannya.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya dimaklumnkan LTAT kini sedang menilai semula Rangka Kerja SAA sedia ada dengan memberi tumpuan kepada pengurusan risiko melalui kepelbagaian pelaburan merentas kelas aset, selaras dengan syor PAC untuk mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan dan tidak bergantung kepada satu entiti.
“Walau bagaimanapun, usaha untuk mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan harus diteruskan memandangkan sebahagian besar portfolio pelaburan LTAT masih tertumpu di dalam Kumpulan Boustead,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas membentangkan Penyata PAC berhubung Tindakan Susulan Bagi Syor-syor Penyata PAC Parlimen berhubung LTAT di bawah Kementerian Pertahanan.
MAs Ermieyati menambah, PAC mengambil maklum terhadap status Pelan Penstrukturan Kumpulan Boustead (Project Earth) yang telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan dibentangkan kepada Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan II dan Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan, Pejabat Perdana Menteri.
Namun, PAC masih lagi belum menerima pelan penstrukturan yang berkaitan dan menunggu pihak LTAT untuk mengemukakan dokumen berkaitan setelah ia dimuktamadkan.
Sebelum ini PAC melahirkan kebimbangan ekoran tiada sebarang pelan alternatif diumumkan setelah Pelan Strategik LTAT 2023-2025 dihentikan sejak 10 bulan lalu.
PAC mendapati pendedahan kepada risiko kebergantungan terhadap Boustead Holdings Berhad tanpa program penyusunan semula yang komprehensif membantutkan transformasi LTAT untuk menjadi tabung persaraan yang mampan.