Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 04 MAC 2025.
KUALA LUMPUR – Pihak bank perlu mengambil tanggungjawab dengan menanggung sepenuhnya kerugian akibat penipuan ataupun scam sekiranya ia disebabkan oleh kelemahan pihak bank itu sendiri.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga menetapkan keperluan institusi kewangan untuk menjalankan siasatan terperinci serta telus untuk setiap kes penipuan kewangan.

“Beban kerugian bagi kes sedemikian tidak seharusnya ditanggung sepenuhnya oleh mangsa yang berhak untuk mendapat pampasan yang sewajarnya.

“Sebarang kes siasatan yang tidak berpihak kepada pelanggan adalah tertakluk kepada semakan bebas,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta kerajaan menyatakan usaha dalam melindungi hak serta kepentingan rakyat berhubung isu kehilangan wang dalam akaun.

“Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan 2021 mendapati bahawa 37 peratus responden secara sukarela berkongsi kata laluan perbankan mereka dengan rakan rapat, 62 peratus tidak mengendahkan ciri keselamatan laman sesawang bank yang dilayari manakala 89 peratus jarang menukar kata laluan mereka.

“Justeru, dasar baharu ini juga menekankan tanggungjawab pengguna sebagai benteng utama dalam menangani isu penipuan perbankan dalam talian. Pengguna harus sentiasa berwaspada dalam melindungi butiran keselamatan peribadi mereka,” katanya.

Beliau menambah, pengguna diingatkan supaya tidak memuat turun aplikasi daripada sumber yang tidak dipercayai dan perlu menukar kata laluan secara berkala bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap yang baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here