Mohamad Fazli meninjau perkembangan projek sakit iaitu Projek Naik Taraf Jalan di Taman Kempas Utama, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Tiga projek sakit jalan raya akan diberi tumpuan untuk diselesaikan tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Beliau memberitahu, tiga projek sakit itu adalah di Kampung Sawah, Pontian; Serom, Muar dan Gelang Patah, Iskandar Puteri.

“Ada tiga lagi projek sakit di bawah peruntukan negeri yang mana jangka tahun ini akan siap. Ia termasuk pembinaan jambatan di Serom dan Gelang Patah.

“Ketiga-tiga projek sakit ini membabitkan kos yang dianggarkan sebanyak RM25 juta,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan tapak ke projek sakit iaitu Projek Naik Taraf Jalan di Taman Kempas Utama, di sini.

Menurut Mohamad Fazli, sebelum ini kerajaan negeri tidak akan melaksanakan projek baharu dan hanya akan memberi fokus kepada projek sedia ada yang sudah dikategorikan sebagai projek sakit.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan mula melaksanakan projek baharu memandangkan projek sakit yang direkodkan kini hanya tinggal tiga sahaja.

“Sebelum ini, saya ada sebut yang kita hanya akan fokus projek sedia ada yang sakit ini kerana itu antara fokus utama kita, jadi disebabkan ada projek sakit kita tidak akan teruskan projek baharu.

“Tetapi, apabila kita tengok tinggal tiga sahaja lagi projek sakit, maka kita sudah boleh mulakan projek-projek baharu,” katanya.

Beliau memberitahu, projek baharu yang akan dimulakan tahun ini adalah pembinaan jambatan di Simpang Renggam.

“Projek baharu di Simpang Renggam ini serampang dua mata kerana bukan sahaja untuk lancarkan aliran trafik, tetapi juga kita hendak pastikan aliran air sungai lancar.

“Ada beberapa lagi jambatan dan jalan yang perlu dinaik taraf. Jadi, Kita ambil langkah yang lebih proaktif, supaya projek baharu nanti tidak ada lagi yang menjadi projek sakit,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here