ROMPIN – Sebanyak 15 buah kilang ais diperiksa dan sembilan notis dikeluarkan kepada pemiliknya yang gagal mematuhi tahap kebersihan dalam Program Jaminan Keselamatan Makanan.
Notis dikeluarkan melibatkan Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan dengan nilai RM11,550.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, beberapa kesalahan lain dikesan di bawah akta berkenaan sepanjang pemantauan yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).
”Pemilik juga tidak mengadakan sistem kebolehkesanan makanan, pengendali makanan tidak mengenakan apron semasa mengendalikan ais dan ais yang dijual tidak mempunyai label seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
”Terdapat dua buah kilang ais telah diberi arahan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana gagal memastikan premis berada di dalam keadaan bersih,” katanya.
Razali berkata demikian ketika ditemui media sejurus Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 Tapak Pasar Minggu Kuala Rompin di sini hari ini.
Tambahnya, sebanyak 412 gerai dan 940 pengendali makanan di Pahang telah diperiksa manakala 24 notis kehadiran ke mahkamah di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan dalam tempoh dua hari Ramadan.
Antara kesalahan yang dikesan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 ialah 20 kesalahan di bawah Peraturan 32 iaitu pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan.
Selain itu, empat kesalahan di bawah Peraturan 33 membabitkan pengendali makanan yang gagal memastikan kuku sentiasa pendek dan memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan.
Dalam pada itu, sebanyak 18 sampel makanan telah diambil pada minggu pertama Ramadan dan telah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi.
Setakat ini, keputusan bagi 18 sampel tersebut belum diterima.
Bagaimanapun pensampelan dan pemeriksaan premis makanan akan diteruskan sepanjang bulan puasa ini, katanya.
Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya di bawah seksyen yang sama. – MalaysiaGazette