KUALA LUMPUR – Semua agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa juga bentuk sama ada secara lisan, tulisan, perbuatan mahu pun di platform media sosial.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr. Sirajuddin Suhamimee berkata, sikap memperlekeh atau mempersendakan amalan keagamaan pihak lain bertentangan dengan ajaran Islam
Tambahnya perbuatan itu juga boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan keharmonian masyarakat.
Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia Madani menekankan nilai hormat-menghormati, toleransi, serta kesejahteraan bersama.
“Sehubungan dengan itu, Jakim mengingatkan semua pihak agar menjaga sensitiviti keagamaan dalam setiap tindakan dan pertuturan.
“Mengelakkan daripada membuat sebarang kenyataan atau perlakuan yang boleh menyinggung kepercayaan agama lain serta menghormati kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Islam sebagai sebuah agama yang menyuburkan kesejahteraan dan keharmonian telah mengajar kita melalui firman Allah dalam Surah Al-An’am,” katanya dalam kenyataan.
Serentak itu Jakim menyeru agar semua pihak sentiasa mengamalkan sikap saling memahami dan bertoleransi.
Prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua harus dijadikan panduan bagi memastikan keamanan dan perpaduan terus terpelihara di negara ini.
Terdahulu, penyampai radio 3 Pagi Era memohon maaf atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.
Klip itu mengundang kritikan meluas dengan kebanyakan berupa penghinaan kepada tradisi Hindu.
Dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani memohon maaf atas video tersebut dan mengakui ia tidak sensitif, terutama kepada masyarakat India.- MalaysiaGazette