Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali menyangkal kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mana Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) berniat menjejaskan kuasa politik Melayu.

Sebaliknya, kata beliau, RUU PSB adalah bukti keprihatinan Kerajaan Madani untuk menaik taraf kehidupan rakyat di bandar.

Ujarnya, ketika ini, pelbagai masalah dihadapi penduduk rumah pangsa di bandar seperti keselamatan bangunan, sistem kumbahan, kekurangan tempat letak kenderaan, kerosakan lif dan sebagainya.

Sehubungan itu, jelasnya, RUU PSB dapat menambah keselesaan, mengurangkan kos penyelenggaraan, menyediakan kemudahan infrastruktur lebih lengkap seterusnya menjamin keselamatan penduduk.

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan kenyataan Dr. Mahathir yang seolah-olah cuba menggambarkan RUU PSB sebagai instrumen menindas dan melemahkan orang Melayu juga sebagai tidak tepat.

“Hakikatnya, hak setiap warganegara kita adalah dilindungi oleh undang-undang.

“Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan telahpun memberikan jaminan kepada rakyat terhadap harta yang mereka punyai di mana tiada individu boleh dilucutkan hak pemilikannya kecuali mengikut lunas undang-undang serta pampasan yang adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Sheikh Umar, kenyataan Dr. Mahathir bahawa penduduk Melayu akan berkurang kerana tidak mampu menyewa atau membeli flat yang mahal harganya juga tidak benar.

Sedangkan, hakikatnya, ujar beliau, kerajaan akan membantu untuk perundingan yang lebih adil berbanding sebelum ini yang mana pemaju berunding secara terus dengan pemilik sehingga menimbulkan pelbagai insiden tidak diingini seperti ugutan, pergaduhan, ancaman serta pengusiran.

Bahkan, kata beliau, tiada sebarang unsur paksaan atau isu gentrifikasi dalam penggubalan RUU PSB, malah mekanisma penting pelaksanaannya juga adalah mendapatkan persetujuan pemilik hartanah melalui perundingan, bukannya pengambilan secara paksa.

“Saya anggap, kenyataan Tun Mahathir berkaitan pindaan RUU URA (PSB) ini ialah suatu percubaan untuk memberi imej negarif terhadap usaha dilakukan oleh Kerajaan Madani.

“Hakikatnya, URA (PSB) bukan untuk melemahkan kuasa orang Melayu sebaliknya untuk menaik taraf kehidupan rakyat agar memiliki kehidupan yang lebih manusiawi, bermaruah dan sempurna,” katanya.

Terdahulu, Dr. Mahathir menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini menyifatkan kuasa politik orang Melayu akan terjejas apabila mereka terpaksa keluar dari kawasan bandar menerusi pembaharuan bandar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here