KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dukungan penuh dua pertiga Ahli Parlimen terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini sebagai bukti nyata kekukuhan dan kestabilan Kerajaan Madani pimpinannya.
Sehubungan itu, menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Perdana Menteri menyampaikan penghargaan kepada Ahli Parlimen yang telah memberi dukungan penuh kepada pindaan tersebut yang menjadi asas kepada penggubalan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025.
Dalam masa sama, katanya, Perdana Menteri turut menyifatkan pindaan itu menjadi reformasi penting dalam memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara, membuka ruang kepada Parlimen untuk menjalankan fungsi dengan lebih bebas, serta menjadikan Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara.
“Perdana Menteri juga menyifatkan tindakan 57 Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong pindaan ini telah mengkhianati usaha reformasi institusi Parlimen.
“Namun ini tidak mengejutkan memandangkan gerombolan yang sama juga telah merobek serta menginjak demokrasi Parlimen dengan menyekat sidang Dewan Rakyat sebelum ini,” katanya menerusi sidang akhbar harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Dalam perkembangan lain, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi OPS PANTAU 2025, susulan pertemuan dengan Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali hari ini.
Ia katanya, termasuk memastikan pemantauan dilakukan lebih kerap bagi menjamin bekalan barangan keperluan rakyat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri sentiasa mencukupi.
Tambah beliau, Perdana Menteri juga mahu strategi intervensi dilaksana segera bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sekiranya terdapat gangguan bekalan.
Selain itu, ujar beliau, Perdana Menteri juga mengarahkan pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan dipertingkat bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar.
“Perdana Menteri sendiri akan melawat beberapa Bazar Ramadan bagi melihat sendiri harga dan kualiti makanan secara langsung, di samping memberikan sokongan kepada peniaga-peniaga kecil.
“Beliau juga mengarahkan supaya ditingkatkan kekerapan Program Jualan Rahmah Madani sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal,” katanya.
Sementara itu, tambah Tunku Nashrul, berkenaan kontroversi tindakan memperlekeh agama Hindu menerusi video yang tular hari ini, Perdana Menteri memberi teguran kepada semua pihak dan menegaskan bahawa tindakan atau pertuturan yang menyentuh isu 3R (raja, kaum dan agama) hanya akan menggugat keharmonian negara dan tidak seharusnya berulang.
Sehubungan itu, ujarnya, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak mengelakkan polemik 3R dalam sebarang bentuk kenyataan atau tindakan, serta mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam hidup bermasyarakat.
“Perdana Menteri juga menekankan kepentingan seluruh rakyat untuk mendakap kemas prinsip Rukun Negara selaku asas perpaduan yang harus dihayati dan diamalkan untuk kita bersama mempertahan keharmonian serta menolak usaha dan tindakan yang boleh memecah belah perpaduan nasional,” katanya. – MalaysiaGazette