Sultan Pahang saran henti aktiviti luar susulan bacaan IPU tidak sihat

KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kebimbangan dengan pencemaran udara yang berlaku di kawasan Balok Baru, di sini.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya (TUDM) berkata, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan itu sangat tidak sihat iaitu 251 yang dicatatkan sehingga jam 2 petang semalam.

Tambah beliau, bacaan itu dijangka semakin meningkat susulan kebakaran ladang kelapa berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular.

“Baginda berharap agar semua penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dan kawasan sekitar terutamanya mereka yang mempunyai masalah pernafasan lebih berhati-hati agar tidak menerima kesan langsung akibat pencemaran udara tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Sultan Pahang juga berpesan agar sebarang kegiatan luar termasuk aktiviti melibatkan pelajar sekolah di kawasan berkenaan dihentikan buat masa ini bagi mengelak sebarang masalah kesihatan.

Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka terutamanya ketika musim cuaca panas dan berangin ini.

Semalam, media melaporkan kebakaran ladang kelapa di belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) Gebeng sejak 22 Februari lalu kian merebak dengan kawasan terbakar meningkat kepada 75.67 hektar.

Daripada keseluruhan kawasan yang dilaporkan terbakar, seluas 66.77 hektar berjaya dipadamkan manakala usaha memadam baki kawasan terbakar seluas kira-kira 8.9 hektar masih diteruskan.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang merekodkan bacaan IPU di kawasan Balok Baru menurun kepada 188 sehingga jam 9 pagi tadi.

Manakala, kawasan Jerantut (61), Temerloh (57), Indera Mahkota (54) dan Rompin (52). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here