Orang Kena Saman (OKS), Yinson Transport (M) Sdn. Bhd. diwakili pengurus operasinya (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Sebuah syarikat logistik yang terbabit dalam nahas maut mengorbankan tujuh individu 23 Disember tahun lalu didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini, hari ini atas pertuduhan membawa muatan melebihi had dibenarkan.

Orang Kena Saman (OKS), Yinson Transport (M) Sdn. Bhd. diwakili pengurus operasi, Ng Chee Keong, 36, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, OKS yang diwakili peguam Chew Jee San didakwa telah melanggar syarat lesen dengan membawa muatan serbuk simen seberat 68,260 kilogram (kg) iaitu lebihan 16,260 kg daripada had sepatutnya dibenarkan 52,000 kg.

Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 8.30 malam 23 Disember 2024.

Sabit kesalahan syarikat itu boleh didenda minimum RM1,000 tetapi tidak lebih RM500,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kenderaan tersebut dilucutkan hak berdasarkan Seksyen 80(4) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen dan waran tangkap dikeluarkan sekiranya OKS gagal hadir ke mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan permohonan pendakwaan.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff dilaporkan berkata, lori berkenaan membawa simen melebihi had sekaligus menjadi punca kerosakan tayar pada lori berkenaan sehingga ia tercabut.

Nahas ngeri kira-kira jam 8.45 malam itu telah mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dan sebuah Perodua Bezza.

Mereka yang maut adalah pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56 dan seorang penumpang warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66, selain lima sekeluarga yang menaiki Toyota Estima iaitu Khairul Izwan Mazupi, 32; Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab. Wahab, 66; bayi berusia dua tahun, Muhammad Umar Khairul Ikhwan dan Fauziah Jaafar, 69.

Ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.

Sebaik tiba ditempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya menyebabkan pemandu bas persiaran melanggarnya sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast