Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 02 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Seorang wanita dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun yang juga anak jirannya, dua tahun lepas.

Hakim Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita berusia 36 tahun tersebut, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Setelah mahkamah meneliti dan mempertimbangkan segala keterangan saksi pendakwaan serta pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh demikian, tertuduh disabitkan dengan kesalahan dikenakan terhadapnya,” katanya.

Kunasundary turut memerintahkan juruwang di kedai serbaneka itu menjalani hukuman bermula hari ini dan turut menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan, serta berada dalam pengawasan polis selama setahun setelah tamat hukuman penjara.

Mahkamah juga tidak membenarkan permohonan peguam M. Soosai Raj daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap anak guamnya.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di Damansara Bestari, Petaling Jaya, Selangor pada 5 petang, 26 Mei 2023, dengan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat memohon hukuman setimpal dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh, selain hukuman perlu berbentuk pengajaran kepada semua pihak supaya tidak melakukan kesalahan sama.

“Mangsa adalah jiran dan kawan anak tertuduh. Sebagai orang dewasa dan ibu kepada kawan anaknya yang dipercayai keluarga mangsa, tertuduh tidak sepatutnya melakukan perbuatan terkutuk itu,” katanya.

Soosai pula memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak masih belajar serta seorang nenek berusia 66 tahun, selain ini merupakan kesalahan pertama wanita itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here