Seorang wartawan diiringi pegawai SPRM dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran) mendesak wartawan sebuah portal yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibebaskan segera, melainkan terdapat alasan kukuh untuk meneruskan penahanannya.

Aliran dalam satu kenyataan hari ini berkata, wartawan berkenaan juga perlu dilayan dengan bermaruah dan diberikan proses keadilan sewajarnya.

Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran).

Tegasnya, wartawan penyiasatan yang tulen dan pemberi maklumat mesti disokong, bukannya dihalang atau dihukum oleh pihak berkuasa.

“Penahanan reman wartawan berkenaan juga amat dipersoalkan, memandangkan tokoh berprofil tinggi seperti bekas Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak tidak ditahan ketika siasatan mereka dijalankan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, walau apa pun hasil siasatan terhadap wartawan berkenaan, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan terhadap laporannya sebelum ini yang mendedahkan dakwaan rasuah sistemik dan penyalahgunaan kuasa dalam pengambilan pekerja asing.

Katanya, siasatan bebas juga diperlukan untuk menghilangkan syak wasangka bahawa penangkapan wartawan berkenaan berpunca daripada laporan siasatannya.

Jelasnya, ramai yang tertanya-tanya sama ada penahanan wartawan berkenaan ada kaitan dengan pendedahannya mengenai kartel pekerja migran.

Ujarnya, ia memandangkan di dalam laporannya, wartawan berkenaan menamakan dalang yang disyaki terlibat dalam kartel tersebut dan sindiket berkaitan.

“Orang awam berhak mengetahui sama ada dakwaan ini sedang disiasat dengan teliti.

“Siasatan menyeluruh diperlukan terhadap dakwaan penglibatan pegawai kanan kerajaan dalam pengambilan pekerja asing.

“Perkara ini mendesak kerana ia mempunyai implikasi terhadap keselamatan negara.

“Mana-mana pegawai awam yang melanggar undang-undang harus didakwa secara jenayah, bukan sekadar dikenakan tindakan disiplin,” katanya.

Tambahnya, SPRM dan pihak berkuasa berkaitan juga perlu memberikan kemas kini berkala kepada orang ramai mengenai perkembangan dan status siasatan mereka berhubung dakwaan rasuah dalam pengambilan pekerja asing.

Jelasnya, kegagalan berbuat demikian hanya akan menambah persepsi bahawa terdapat usaha untuk menutup kes itu dan ia juga boleh dilihat sebagai satu bentuk ‘pemburuan’ terhadap mereka yang berani bersuara.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wartawan berusia 49 tahun ditahan selepas siasatan mendapati suspek meminta wang suapan sebanyak RM100,000 daripada agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket berkenaan.

Bagaimanapun, selepas rundingan, suspek bersetuju menerima pendahuluan sebanyak RM20,000 sebelum ditahan dalam operasi di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor, Jumaat lalu.

Wartawan terbabit kini direman selama empat hari sehingga hari ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here