KUALA LUMPUR – Seramai 27 pegawai imigresen yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah kelab malam pada April tahun lalu telah diberi kaunseling.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada semua pegawai yang terlibat.
“Merujuk kepada 27 orang pegawai imigresen yang terlibat semasa serbuan di kelab malam, surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada pegawai bagi mengetahui alasan keberadaan mereka di premis tersebut dan bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dakwaan penyalahgunaan dadah.
“Seterusnya, mereka yang terlibat juga telah diberi kaunseling dan peringatan oleh Pengarah Imigresen Negeri serta akujanji telah diadakan pada 3 Mei 2024,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor-PN) yang meminta penjelasan mengenai tindakan terhadap pegawai imigresen berkenaan.
Saifuddin memberitahu, siri ujian air kencing yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) antara 4 Jun hingga 14 Jun 2024 mengesahkan semua pegawai berkenaan negatif dadah.
Sebelum ini, media melaporkan, seramai 27 pegawai imigresen itu antara 161 individu yang ditahan polis dalam serbuan ke atas sebuah kelab malam di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, pada 26 April tahun lalu.
Bagaimanapun, polis membebaskan mereka selepas keputusan ujian dadah didapati negatif. – MalaysiaGazette