Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh meminta pihak berkuasa menjelaskan perkembangan siasatan kes menghina agama Islam yang melibatkan selebriti, Harith Iskander dan Cecilia Yap Song.

Menurutnya, undang-undang terpakai kepada semua pihak, bukannya mengikut sokongan orang berpengaruh.

Jelasnya, beliau menyokong tindakan dikenakan terhadap tiga penyampai radio yang memperlekehkan agama Hindu, sama seperti tindakan ke atas penjual jagung dalam insiden melibatkan sensitiviti kaum sebelum ini.

Tegasnya, masyarakat tidak boleh menerima norma `buat dahulu baru minta maaf dan selesai’, sebaliknya satu tindakan hukuman perlu diberikan kepada mereka yang menyentuh isu sensitif dengan sesiapa pun tidak boleh terkecuali tidak kira agama, bangsa dan negara.

“Saya juga nak tanya pada pihak berkuasa, jika 3 DJ (penyampai radio Era FM) ini telah disiasat dan dikenakan hukuman oleh majikan mereka, apa perkembangan bagi kes Cecillia Yap dan Harith Iskandar yang memperlekehkan nama Nabi Muhammad (SAW) dan agama Islam?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung insiden kakitangan sebuah stesen radio milik Astro yang didakwa mempersenda upacara agama lain menerusi rakaman video di media sosial.

Ujar beliau, siasatan dijalankan ekoran enam laporan polis yang diterima berhubung isu itu, setakat ini.

Media sebelum ini turut melaporkan, pihak polis telah selesai merakam percakapan Cecelia, 65, yang juga pemilik akaun Facebook Cecelia Yap Song KL, susulan hantarannya pada akaun Harith, 54, mengenai isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here