Ngwe Hee Sem

MELAKA – Dapur tiga buah hotel yang menawarkan bufet Ramadan di Melaka diarah tutup selama 14 hari susulan tahap kebersihannya yang tidak memuaskan.

Arahan berkenaan dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam operasi sejak 17 Februari sehingga semalam.

Exco Kesihatan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, operasi makanan hotel berkenaan bagaimanapun boleh beroperasi semula kurang dari tempoh 14 hari sekiranya BKKM berpuas hati dengan tahap kebersihannya selepas ini.

“Dalam operasi, kita dapati ada tiga hotel yang telah melanggar syarat tidak bersih dan kita bagi tempoh untuk mereka bersihkan semula kawasan itu dalam tempoh 14 hari.

“Jika mereka dapat patuhi dalam tempoh 72 jam, kita akan datang balik untuk periksa dan tentukan sama ada sudah mematuhi tahap kebersihan ditetapkan sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kempen Perhati dan Pilih Pasar Ramadan 2025 di Peringgit, di sini.

Hee Sem merasmikan Majlis Peluncuran Kempen Perhati dan Pilih Pasar Ramadan 2025 di Peringgit, Melaka.

Mengulas lanjut Hee Sem berkata, tiga premis berkenaan adalah antara 41 hotel yang diperiksa di seluruh negeri ini dengan sebahagian mereka dikenakan kompaun.

“Selain itu, turut dikompaun ialah dua kilang ais yang didapati gagal mencapai tahap kebersihan ditetapkan.

“Sepanjang tempoh pemeriksaan bermula 17 Februari dan berakhir semalam, sebanyak 36 notis kesalahan dikeluarkan dan 14 kompaun berjumlah RM6,950 dikenakan terhadap premis terbabit,” tambahnya lagi.

Jelasnya, tindakan diambil mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here