Li Keqiang

BEIJING – China bersedia untuk memerangi “sebarang jenis” peperangan selepas menyerang balik tarif perdagangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang semakin meningkat.

Dua ekonomi utama dunia telah menghampiri perang perdagangan selepas Trump mengenakan lebih banyak tarif ke atas semua barangan China.

Serentak itu, China dengan cepat bertindak balas mengenakan antara 10 hingga15% tarif ke atas produk ladang AS.

Kedutaan China di Washington, dalam di X, berkata: “Jika perang adalah yang dimahukan AS, sama ada perang tarif, perang perdagangan atau apa-apa jenis perang, kami bersedia untuk berjuang sehingga akhir.”

Pada hari Rabu, Perdana Menteri China, Li Qiang mengumumkan China akan sekali lagi meningkatkan perbelanjaan pertahanannya sebanyak 7.2% tahun ini dan memberi amaran bahawa “perubahan yang tidak dapat dilihat dalam satu abad sedang berlaku di seluruh dunia pada kadar yang lebih pantas.”

Peningkatan ini dijangka dan sepadan dengan angka yang diumumkan tahun lepas.

Pemimpin di Beijing cuba menghantar mesej kepada rakyat China bahawa mereka yakin ekonomi negara ini boleh berkembang, walaupun dengan ancaman perang perdagangan.

China lebih berminat untuk menggambarkan imejnya sebagai sebuah negara yang stabil dan aman berbeza dengan AS, yang dituduh Beijing terlibat dalam peperangan di Timur Tengah dan Ukraine.

Beijing juga berharap untuk memanfaatkan tindakan Trump yang berkaitan dengan sekutu AS seperti Kanada dan Mexico, yang juga telah dikenakan tarif.

Berucap pada hari Selasa, Perdana Menteri China menekankan negara ini akan terus membuka pintu dan menarik lebih banyak pelaburan asing.

Kedutaan China di Washington memetik tuduhan AS yang menyalahkan China ekoran kemasukan dadah fentanyl.

“Isu fentanyl adalah alasan tipis untuk menaikkan tarif AS ke atas import China,” kata jurucakap kementerian luar itu.

“Ugut tidak menakutkan kami. Buli tidak berkesan kepada kami. Tekanan, paksaan atau ugutan bukanlah cara yang betul untuk berurusan dengan China,” tambahnya.

Hubungan AS-China sentiasa menjadi salah satu yang paling dipertikaikan di dunia.

China mempunyai bajet ketenteraan kedua terbesar di dunia sebanyak AS$245bn tetapi ia jauh lebih kecil daripada AS.

Beijing membelanjakan 1.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar untuk tenteranya, jauh lebih rendah daripada AS atau Rusia, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here