Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 05 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu menghormati proses undang-undang dan tidak menjatuhkan hukuman terlalu awal kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana Ahli Parlimen Bera itu baru disiasat dan belum ada pendakwaan dibuat.

Tegas beliau, siasatan perlu dilakukan secara profesional dan tidak melibatkan campur tangan mana-mana pihak.

“Biarkan proses (siasatan) berjalan. Kita di sini tidak boleh ke tahap menghukum dan biarkan proses siasatan dilaksanakan secara profesional.

“Tambahan pula dalam kes membabitkan Ismail Sabri tiada apa-aa pendakwaan lagi.

“Sebaliknya, kalau ada soalan sama ada seseorang itu boleh atau tidak (didakwa dan disabitkan kesalahan), itupun masalah juga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Parlimen Malaysia di sini hari ini

Sementara itu, keterangan bekas Ismail Sabri yang dijadualkan hari ini ditangguhkan kepada 7 Mac ini.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), keterangan akan dibuat pukul 10 pagi di Ibu Ppejabat SPRM, dekat Putrajaya.

Penangguhan dibuat kerana tahap kesihatan Ismail Sabri yang juga bekas menteri Kabinet masih rendah dan beliau masih dalam cuti sakit.

Sebelum itu, bekas Naib Presiden UMNO itu dilaporkan akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM esok bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dirinya.

Kelmarin, bekas pemimpin itu merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safehouse susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.

Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta dengan kesemua akaun adalah sah dan aktif. – MalaysiaGazette

Keterangan Ismail Sabri ditangguhkan 7 Mac ini – SPRM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here