Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan ketika hadir bagi menyempurnakan majlis Kerjasama Strategik Malaysia - Peneraju Global Semikonduktor Bagi Pembangunan CIP Al di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 05 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerjasama kerajaan dengan ARM Holdings Plc (ARM) sebagai langkah bersejarah dan fasa seterusnya untuk Malaysia melangkah lebih jauh dalam sektor semikonduktor.

Menurut Perdana Menteri, menerusi kerjasama menyeluruh dengan ARM iaitu syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK) itu, Malaysia kini dalam landasan tepat untuk menghasilkan cip kecerdasan buatan (AI) sendiri.

Jelas beliau, cip itu kelak akan direka bentuk, dikilangkan, diuji dan dipasang di negara ini, serta dijual ke seluruh dunia.

Replika cip pada majlis pelancaran dan Kerjasama Strategik Malaysia – Peneraju Global Semikonduktor Bagi Pembangunan CIP Al di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 05 MAC 2025.

Tambahnya, kerjasama dengan ARM itu turut memberi manfaat besar kepada negara dalam tiga aspek utama iaitu menerusi pembangunan program latihan komprehensif kepada 10,000 jurutera litar bersepadu (IC), sekali gus melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri semikonduktor.

Selain itu, ujarnya, syarikat-syarikat tempatan terpilih juga bakal mendapat keistimewaan kepada akses teknologi canggih dan portfolio IP yang dimiliki ARM.

Dalam masa sama, jelas beliau, kerjasama dengan ARM juga dapat memperkukuh pembangunan produk semikonduktor yang direka bentuk secara tempatan bagi mencapai matlamat negara dalam pengeluaran cip yang lebih maju.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa persiapan kita bukan sahaja dari segi ekosistem, tetapi juga dari segi latihan dan segala kemudahan yang mungkin harus kita kerahkan untuk menjayakan program ini.

“Dalam pertemuan saya bersama Ketua Setiausaha Negara dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini, kerjasama dengan ARM ini turut kita bicarakan, yang mana terdapat keperluan untuk seluruh jentera kerajaan, universiti, pusat penyelidikan, industri dan agensi sains digerakkan dan dikerahkan.

“Ini bagi memastikan anak-anak kita mempunyai latihan yang cukup dari segi kelayakan, keterampilan dan Kemahiran supaya mereka mendapat manfaat daripada kehadiran syarikat gergasi seperti ARM ini,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran kerjasama strategik dalam sektor semikonduktor termasuk dengan ARM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz Seri.

Anwar Ibrahim (tiga kiri) bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif ARM, Rene Haas (tiga kanan) melakukan gimik pelancaran ketika hadir bagi menyempurnakan majlis Kerjasama Strategik Malaysia – Peneraju Global Semikonduktor Bagi Pembangunan CIP Al di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 05 MAC 2025.

Tambah Anwar, kerjasama dengan ARM dalam melonjak sektor semikonduktor negara itu berjaya direalisasikan menerusi usaha yang digerakkan oleh MITI, Kementerian Kewangan; Kementerian Ekonomi dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Jelasnya, kesemua kementerian itu telah berusaha dengan bersungguh-sunguh untuk memastikan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam sektor semikonduktor global.

“Saya yakin kita akan menjana kesan ekonomi berganda daripada kerjasama ini yang tidak terhad hanya kepada pasaran Malaysia semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Anwar menambah, selain menawarkan teknologi canggih yang merangkumi semua aspek reka bentuk semikonduktor, ARM juga akan menubuhkan pejabat pertamanya di ASEAN, bertempat di Kuala Lumpur.

Langkah itu, ujar beliau, bertujuan memperluaskan jangkauan teknologi semikonduktor ARM ke pasaran ASEAN, Australia dan New Zealand.

“Saya berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan ARM kepada negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here