Dua Proton Saga terlibat kemalangan dan mengakibatkan seorang maut di di Kilometer 9.8, Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang wanita maut, manakala anak dan cucunya cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta Proton Saga di Kilometer 9.8, Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan membabitkan dua buah Proton Saga berwarna merah dan emas berlaku pada pukul 8.45 pagi.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga warna emas yang dipandu wanita berusia 26 tahun bersama-sama dua penumpang iaitu ibunya berusia 59 tahun dan anaknya berusia dua tahun.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah lagi Proton Saga berwarna merah dipandu remaja lelaki 18 tahun yang bergerak dari arah Kampung Lukut, Batu Ampat ke Kota Tinggi dipercayai memasuki laluan bertentangan.

“Ia menyebabkan dia bertembung di bahagian hadapan sisi kiri Proton Saga berwarna emas dinaiki tiga sekeluarga itu,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu, penumpang hadapan Proton Saga warna emas iaitu Siti Norlia Mustajab yang berusia 59 tahun parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia pukul 9.59 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Katanya, pemandu kereta itu bersama-sama anaknya turut cedera dan kini masing-masing sedang mendapatkan rawatan di HKT dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

Pemandu Proton Saga emas yang merupakan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun pula katanya, mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan insiden tidak diingini. Sebarang maklumat lanjut bagi membantu siasatan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Zamiruddin bin Yaakob di talian 011-39105277,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Shawaluddin Ami Nordin berkata, seramai lapan anggota dibantu BBP Bandar Penawar dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian sebelah pemandu dan dua orang tidak tersepit, manakala sebuah lagi Proton Saga terdapat seorang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya.

Pihak bomba katanya, menggunakan peralatan khas mengeluarkan mangsa yang tersepit  dihantar dengan jentera J2-06 dan ambulans ke HKT untuk menerima rawatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here