Saifuddin bercakap kepada media selepas ditemui pada majlis berbuka puasa bersama warga KDN di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution mengalu-alukan permohonan maaf oleh tiga penyampai radio popular ERA FM iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin susulan penyiaran kandungan video menyinggung sensitiviti kaum India.

Namun pada masa sama, kata Saifuddin, polis tetap bertanggungjawab menjalankan siasatan sekiranya ada laporan yang dibuat.

“Jika ada aduan atau laporan polis dibuat, ia menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada ada asas untuk pendakwaan.

“Itu adalah proses undang-undang,” katanya kepada media selepas ditemui pada majlis berbuka puasa bersama warga KDN di sini hari ini.

Kata Saifuddin lagi, permohonan maaf menunjukkan kesedaran individu terbabit terhadap kesilapan yang dilakukan.

“Permohonan maaf adalah sesuatu yang baik kerana ia menunjukkan individu tersebut menyedari ungkapan atau perbuatan yang dilakukan tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Namun kata beliau, dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, insiden sebegini perlu dijadikan pengajaran agar semua pihak lebih berhati-hati dalam menjaga sensitiviti kaum dan agama.

“Sementara kita mengharapkan orang lain memahami budaya dan sensitiviti agama kita, kita juga perlu bersikap begitu terhadap mereka. Barulah kita dapat hidup dengan harmoni,” tegasnya.

Semalam, pelbagai pihak tampil mengecam tindakan tidak bertanggungjawab kakitangan ERA FM yang didakwa memperlekehkan agama Hindu menerusi satu video baru-baru ini.

Video berkenaan memaparkan individu yang meniru tarian kavadi sambil melaungkan ‘Vel Vel’ secara tidak sopan, sekali gus mencemarkan kesucian kepercayaan masyarakat Hindu di Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here