Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam sidang akhbar harian PMO hari ini.

KUALA LUMPUR – Agenda menoktahkan kemiskinan tegar kekal sebagai keutamaan tertinggi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbincangan bersama pimpinan kerajaan negeri dan agensi.

Perkara itu akan ditekankan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri dan Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama kepimpinan utama kerajaan negeri dan agensi dalam siri turun padang beliau ke negeri-negeri bermula minggu depan.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata, sejak agenda itu diumumkan dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri telah menggerakkan semua Setiausaha Politik ke negeri-negeri bagi memastikan gerak kerja serta bantuan disalurkan secara tersusun kepada kumpulan miskin tegar.

Usaha itu, ujar beliau, merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan perumahan, serta memperbaiki taraf hidup dan kesejahteraan isi rumah miskin.

“Perdana Menteri memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember tahun lalu, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berjaya mencapai sifar miskin tegar, dan Insya-Allah kejayaan ini akan diperluas ke negeri-negeri lain,” katanya menerusi sidang akhbar harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Dalam perkembangan lain, Tunku Nashrul berkata, Malaysia petang ini bakal melakar sejarah dalam industri teknologi global apabila Perdana Menteri akan  meluncurkan satu kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat yang berpengkalan di United Kingdom (UK), yang bakal mengubah landskap kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor negara.

Ujar beliau, pemeteraian kerjasama dengan syarikat pereka seni bina cip terbesar di dunia itu adalah hasil inisiatif Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Kementerian Kewangan, dan Kementerian Ekonomi.

Jelasnya, Perdana Menteri melihat kerjasama itu sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem teknologi negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena teknologi global.

“Dengan termeterainya perjanjian kerjasama ini, Malaysia mendahului negara lain sebagai rakan ekosistem teknologi pertama bagi syarikat ini, menjadikannya hab utama di ASEAN.

“Malaysia juga menjadi negara pertama di rantau ini di mana syarikat tersebut akan membuka pejabatnya,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama itu juga membolehkan syarikat Malaysia memanfaatkan teknologi dan kepakaran termaju dalam bidang semikonduktor serta melatih tenaga mahir tempatan.

Ia jelasnya, akan mempercepatkan pertumbuhan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memperkukuh daya saing industri teknologi negara.

“Peluncuran dan pemeteraian kerjasama strategik ini juga menjadi bukti kepercayaan pelabur-pelabur dunia terhadap dasar Kerajaan MADANI dan terus melaksanakan kerjasama bernilai tinggi dengan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast