GEORGE TOWN – Polis Daerah Timur Laut sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan lebih 700 peluru hidup dan 13 peluru kosong jenis kaliber 22 dalam sebuah beg di tempat pembuangan sampah di sebuah pangsapuri di Bukit Jambul di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan beg berisi peluru itu daripada orang awam pada jam 1.40 petang.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati beg tersebut telah ditinggalkan oleh individu yang tidak dikenali.

“Kita memandang serius kes ini dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dari pelbagai sudut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah Abdul Rozak, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspekto Nurul Aishah Izati Zaidi di talian 011 2154 4465.
Difahamkan, peluru tersebut boleh digunakan untuk memburu binatang serta latihan menembak. – MalaysiaGazette