PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MBD), Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin berpendirian beliau hanya berkata benar pada perbicaraan kes penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Saksi pembelaan ke-12 (DW12) itu memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak berbohong pada bulan Ramadan dan hanya mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam syarikat itu, bukan menyebelahi bekas Perdana Menteri.
Menurut Che Lodin, beliau berkhidmat sebagai pengerusi 1MDB dari tahun 2009 hingga 2016, menggantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang meletak jawatan pada tahun 2009.
Saksi itu menyatakan demikian ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas kes penyelewengan RM2.3 billion dana 1MDB melibatkan Najib.
Shafee: Tan Sri, segala keterangan yang anda berikan beberapa hari ini dalam bulan Ramadan adalah benar, tiada apa yang tidak benar melainkan benar belaka?
Che Lodin: Insya Allah, saya bercakap benar dan tidak lain, hanyalah perkara yang benar.
Ketika disoal Muhammad Shafee, adakah Najib pernah menghubunginya secara langsung atau melalui perantara untuk membincangkan mengenai 1MDB, saksi itu menjawab: “Seingat saya tidak.”
Che Lodin sebelum ini memberitahu mahkamah, beliau tidak mempunyai akses yang mudah kepada Najib dan perlu membuat janji temu jika mahu berjumpa dengan bekas Menteri Kewangan itu seperti orang lain.
Jelasnya lagi, beliau mempunyai hubungan profesional dan formal dengan Najib walaupun sudah mengenalinya hampir lima dekad.
Che Lodin selanjutnya menegaskan, beliau tidak dilantik dalam 1MDB untuk memastikan semua keputusan Najib dilaksanakan.
Pada perbicaraan itu, mahkamah turut mendengar keterangan saksi pembelaan ke-11, Senior Asisten Komisioner (SAC), R. Rajagopal yang dipanggil bagi menyambung semula keterangannya.
Rajagopal berkata, siasatan terhadap Najib bermula selepas bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan berhubung skandal kewangan itu.
Pada tahun 2016, Khairuddin telah membuat dua laporan polis berkaitan 1MDB dan menyerahkan semua bukti yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal terbabit kepada pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern.
Khairuddin turut membuat laporan polis mengenai 1MDB di Singapura, Perancis dan Hong Kong.
Mahkamah sedang mendengar prosiding bela diri Najib yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung Isnin. – MalaysiaGazette