Keadaan banjir di beberapa kawasan di Skudai, Johor Bahru semalam seperti sungai.

ISKANDAR PUTERI – Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Skudai, di sini, semalam susulan hujan lebat dan sistem perparitan lama yang tidak lagi mampu menampung kapasiti dan aliran air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, masalah itu telah berulang kali dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kawasan yang terjejas ialah antaranya Jalan Zapin 3, Jalan Ronggeng 4, Jalan Jelawat, Jalan Baung, Jalan Kilang Nanas, Kampung Poh Chee Leng, Syahbandar dan Jalan Laksamana.

“Kami telah melakukan lawatan tapak bersama pelbagai agensi. Penduduk tidak seharusnya menerima alasan bahawa ini hanya disebabkan oleh jumlah hujan yang tinggi.

“Ini bukan kali pertama atau kedua, tetapi berkali-kali dalam setahun penduduk terpaksa menghadapi masalah yang sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Marina, masalah utama berpunca daripada sistem perparitan lama yang berusia 30 hingga 40 tahun, tidak mampu menampung aliran air yang semakin meningkat.

Saliran utama di Skudai katanya, tidak cukup besar untuk menampung jumlah air yang tinggi.

Contohnya kata beliau, di Jalan Jelawat, terdapat satu paip besar dalam longkang yang menghalang aliran air.

“Saya telah menghantar surat agar satu sesi townhall dapat dilakukan seterusnya memberi penjelasan kepada penduduk mengenai perancangan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Dalam pada itu, penduduk di Jalan Zapin merayu tindakan segera pihak berkuasa untuk menangani masalah banjir yang semakin kerap melanda kawasan mereka sejak kebelakangan ini.

Menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Dewi, rumahnya yang berusia hampir 40 tahun jarang dinaiki air sebelum ini, namun dalam tempoh setahun, kejadian banjir sudah berlaku sebanyak dua kali.

Beberapa video tular dalam media sosial memaparkan keadaan banjir kilat di sekitar Skudai, dengan arus deras sehingga menyebabkan rumah penduduk dinaiki air serta kesesakan lalu lintas.

“Air sangat laju, sudah seperti sungai,” kata seorang pengguna jalan raya yang berkongsi pengalaman mereka ketika kejadian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here