Sisa amunisi dengan anggaran berat 40 tan yang ditemukan di kilang e-sisa di Teluk Panglima Garang, Banting. Foto AIZAT ZAINAL, 6 MAC 2025.

KUALA LANGAT – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan aktiviti pemprosesan e-waste haram yang melibatkan penggunaan peluru hidup dan kelongsong berjumlah kira-kira 40 tan didalangi kumpulan samseng dan kongsi gelap.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penemuan peluru hidup dan kelongsong dalam jumlah besar itu dibimbangi kerana boleh mengancam keselamatan negara.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa aktiviti pemprosesan e-waste haram ini mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah.

“Sebab itu, polis sedang menyiasat kemungkinan wujud elemen jenayah terancang atau keselamatan negara.

“Walaupun siasatan bermula di bawah Akta Senjata Api, kita mungkin menemui perkara lain yang lebih besar.

“Saya serahkan kepada kepakaran pihak polis untuk menentukan arah siasatan ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat kitar semula yang ditemukan puluhan tan peluru dan kelongsong di Telok Panglima Garang, di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika hadir melawat kilang e-sisa susulan penemuan sisa amunisi dengan anggaran berat 40 tan di Teluk Panglima Garang, Banting. Foto AIZAT ZAINAL, 6 MAC 2025.

Pada 15 Februari lalu, media melaporkan, polis menemukan hampir 50 tan kelongsong dan anak peluru serta peluru hidup dalam Ops Hazard selepas menyerbu sebuah kilang disyaki memproses sisa elektronik haram di Telok Panglima Garang, di sini.

Saifuddin juga berkata, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti dua pemilik syarikat terbabit di mana salah seorang ialah warga tempatan, manakala seorang lagi warga asing yang masih dikesan pihak berkuasa.

“Saya telah menerima taklimat awal daripada Datuk Hussein Omar Khan (Ketua Polis Selangor) di Bukit Aman dua hari lalu dan siasatan menunjukkan perkembangan sangat meyakinkan.

“Namun, saya tidak akan mengumumkan sebarang penemuan buat masa ini supaya tidak mengganggu siasatan,” katanya.

Antara barang rampasan di kilang e-sisa yang ditemui di sebuah premis e-waste dekat Teluk Panglima Garang, Banting. Foto AIZAT ZAINAL, 6 MAC 2025.

Saifuddin juga memberitahu, kewujudan kilang kitar semula itu yang beroperasi dalam kawasan perindustrian antara salah satu taktik licik sindiket untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Premis haram ini beroperasi dalam kawasan perindustrian yang diwartakan sebagai zon industri. Ini menyebabkan ia tidak menimbulkan kecurigaan sehinggalah operasi serbuan dijalankan.

“Namun, sebaik sahaja aktiviti haram ini ditemui, pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan untuk menghentikan operasi ini,” katanya.

Ditanya tentang produk akhir daripada kitar semula peluru dan kelongsong terbabit, beliau berkata ia bertujuan untuk menghasilkan jongkong timah yang dianggarkan bernilai RM300 hingga RM400 setiap satu.

“Harga jongkong timah ini juga bergantung kepada harga pasaran dan aktiviti ini menguntungkan pihak tertentu yang menjalankannya secara haram,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here