KUALA LUMPUR – Penyanyi Singapura yang kian meningkat naik, Iman Fandi menghidupkan semangat sambutan Hari Raya Aidilfitiri dengan pelancaran single Melayu pertama berjudul Hari Raya Raya Raya.
Single raya itu lagu yang penuh tenaga, menggambarkan kemesraan, nostalgia dan keunikan tradisi menyambut hari raya.
Iman yang juga seorang peragawati, pelakon dan atlet sebelum ini kini semakin menyerlah dalam bidang muzik dengan membawa kisah autentik melalui karyanya.
Selepas kejayaan album sulungnya, That Girl, lagu itu menandakan titik penting dalam perjalanan seninya, mencerminkan warisan dan nilai kekeluargaan yang begitu dekat di hatinya.
Iman berkata, lagu Hari Raya Raya Raya disifatkan lebih daripada sekadar sebuah lagu perayaan yang mana ia simbol kepulangan dan kebersamaan.
Menurutnya, lagu itu memaparkan elemen tradisional seperti cantiknya baju baharu, keharuman masakan istimewa, serta kegembiraan berkumpul bersama keluarga.
Pendek kata anak bongsu legenda bola Singapura Fandi Ahmad, lagu ini mencerminkan intipati sebenar Aidilfitri.
“Hari Raya bagi saya adalah mengenai keluarga, berkumpul, menjamu selera dan mengeratkan hubungan dengan orang tersayang yang mungkin jarang kita temui sepanjang tahun.
“Ia adalah masa untuk menghargai detik-detik istimewa dan mencipta kenangan baru bersama keluarga serta sahabat. Jadi, semua rasa ini saya wujudkan dalam lagu ini,” katanya.

Menjadikan lagu ini lebih istimewa, proses rakamannya turut membabitkan ahli keluarga Iman.
Menurutnya, pengalaman merakam di studio bersama berjaya mencipta suasana yang penuh dengan gelak tawa dan kehangatan, menjadikan ‘Hari Raya Raya Raya’ sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar sebuah lagu.
“Merakamlan lagu ini adalah pengalaman yang luar biasa apatah lagi dapat membabitkan keluarga dalam proses kreatif ini memberi satu dimensi peribadi yang sangat bermakna,”
tambahnya.
Berkongsi mengenai lagu itu, Iman berkata, lagu raya ini dihasilkan dengan rentak yang ceria dan lirik yang menyentuh hati.
“Lirik lagu ini mengangkat pelbagai aspek tradisi hari raya, daripada keseronokan berbuka puasa, persiapan baju sedondon, hinggalah kepada kegembiraan kanak-kanak menerima duit raya.
“Saya mahu lagu ini menjadi sesuatu yang boleh dinikmati oleh semua peringkat umur, sama ada mereka yang menyambut Hari Raya Aidilfitri atau yang ingin merasai kehangatan dan kemeriahan perayaan ini.
“Saya juga ingin memperkenalkan muzik saya kepada komuniti Melayu dan membawa sesuatu yang segar dan berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Iman melihat lagu Hari Raya Raya Raya sebagai satu permulaan yang membuka jalan kepada lebih banyak projek yang mencerminkan identitinya.
Menurutnya lagi, dengan pengaruh muzik pop yang mudah diterima ramai, Iman berhasrat untuk terus mempersembahkan karya-karya yang tidak hanya menghiburkan tetapi juga mendekatkan dirinya dengan peminat dari pelbagai latar belakang.Lagu ‘Hari Raya Raya Raya kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital. – MalaysiaGazette