KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat diberikan amaran untuk tidak menyebarkan berita palsu atau dokumen yang tidak disahkan kandungannya, kata Tan Sri Johari Abdul.
Ketika sidang Dewan Rakyat memasuki sesi perbahasan usul-usul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu memperingatkan semua ahli Dewan Rakyat agar menyemak kesahihan dokumen mereka sebelum membangkitkannya di dalam dewan.
“Apa-apa juga dokumen yang tidak dipastikan kesahinannya jangan digunakan dalam dewan ini termasuk surat khabar. Kita tidak tahu sama ada benda ini rasmi atau direka dan salah cetak.
“Dalam dewan ini kita cuma membenarkan dokumen rujukan yang rasmi sahaja, kalau tidak akan jadi begini (nafikan dirinya dirujuk), seorang yang tidak tulis dan ada pihak yang muatnaik dan letak berita palsu dan ada yang petik,” katanya ketika membuat perintah itu hari ini.
Ia dilakukan selepas Wong Chen (PH-Subang) yang bangun untuk menafikan dakwaan Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang mengaitkan nama beliau semalam.
“Langkawi membawa WhatsApp itu dan mengakhiri bacaan tersebut mengatakan “Saya hairan dia tulis kredit gambar Wong Chen,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya beliau terpanggil untuk memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut.
“Saya tidak tulis pesanan WhatsApp tersebut,” nafi Chen.
Dalam pada itu, Johari berkata beliau memberikan amaran kepada mana-mana Ahli Parlimen yang membuat kesalahan dengan mengemukakan dokumen palsu dan membuat berita tidka benar.
“Saya akan kenakan tindakan kepada sesiapa yang (keluarkan berita palsu), sebab itu saya ingatkan kalau kita nak sebut peraturan mesyuarat kita akan sebut nama kawasan.
“Kita tidak akan sebut nama kawan-kawan kita, mungkin ada pertelignkahan tapi apa pun guna nama kawasan sebab ada dalam peraturan mesyuarat,” katanya lagi.
Semalam, Suhaimi menyuarakan kekecewaannya terhadap satu pesanan WhatsApp yang mengkritik pembangkang kerana mengambil sikap berkecuali ketika undian ke atas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang berkaitan dengan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA).
Pesanan itu antara lain menyindir 57 ahli Parlimen pembangkang yang tidak mengundi dan RUU itu diluluskan dengan sokongan 148 ahli Parlimen.
Selepas membacakan pesanan itu ketika perbahasan RUU PSA semalam, Suhaimi yang kelihatan berang berkata; “Betapa sialnya apa yang berlaku ini”. – MalaysiaGazette